Tuesday, May 18, 2010

Anak-anak Permata Hati

Sejuk hati bila tengok anak-anak ceria. Inilah masa di mana anak-anak belum diganggu lagi dengan masalah kehidupan. Mereka belum nampak lagi masa depan yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Macam mana pun, sebagai ibu dan bapa, kita perlu beransur-ansur memperkenalkan anak-anak kita ini dengan cabaran dan dugaan itu.Bagaimana? Tepuk dada...tanya iman dan pengalaman. Kenapa saya berkata begitu? Ibu bapa yang berpengalaman sahaja tanpa iman belum tentu dapat mengendalikan perkara ini dengan baik. Anak-anak akan memberontak, merajuk dan perbuatan memprotes yang mereka buat kadang-kala di luar jangkaan kita. Jadi, iman itu sebagai 'guide line' kita dalam mendidik dan membimbing anak-anak.. Semoga anak-anak kita membesar dengan cemerlang.

Anak-anak Pengikat Kasih Ayah dan Ibu

Anak-anak simbol kasih sayang sejati antara sepasang suami isteri. Kepada merekalah tempat untuk ibu dan ayah pupuk dan semai benih-benih kasih supaya besarnya nanti menjadi pepohon yang rimbun dan berbuah sebagai tempat berlindung untuk ayah dan ibu menumpang teduh. Keikhlasan ibu dan ayah menyemai kasih sayang dan dibaja dengan semangat dan dorongan yang tidak putus-putus sambil menerima keredhaan Allah s.w.t., anak-anak akan menjadi insan yang kamil. Setidak-tidaknya tahu meletakkan diri di tempat yang sepatutnya sebagai anak, pelajar dan yang paling utama sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai ibu dan ayah, nilai usaha kita boleh dilihat pada perkembangan anak-anak. Walaupun pada dasarnya ibu dan ayah mahukan yang terbaik untuk anak-anak tetapi apakan daya sebagai makhluk Allah s.w.t. kita tidak dapat lepas lari daripada ujianNya yang pelbagai rupa dan bentuk, besar dan kecil juga cepat atau lambat serta lama atau sebentar. Terimalah apa yang tersurat sebagai qada dan qadar Allah s.w.t. dan seadanya kita bersedia menempuh sesuatu ujian itu. Apa yang penting, tanamkan sifat sabar dan redha. Sentiasa ingatkan diri sendiri sebelum kita menyalahkan orang lain dan sama-sama berkongsi ilmu untuk kesejahteraan keluarga.

Friday, May 7, 2010

KELUARGAKU SYURGAKU

Keluarga bahagia ibarat pohon yang mempunyai buah yang cantik dan enak rasanya. Nak dapat pohon sebegitu perlulah dari awal benihnya ditentukan,kemudian diberi baja, disiram dan dijaga sehimgga berbuah. Begitu juga dengan keluarga yang menjadi idaman semua. Ada ibu bapa yang penyayang, anak-anak yang sentiasa taat kepada ibu bapa dan setiap ahli keluarga tahu peranan masing-masing untuk menjadikan keluarga itu harmoni dan bahagia. Keluarga yang bahagia bukan terletak pada kemewahan harta tetapi ukhwah di antara ahli-ahlinya yang menjadikan setiap ahli keluarga merasa bertanggungjawab menjaga nama baik keluarga. Sayang-menyayangi, hormat-menghormati dan bertolak-ansur, itulah inti pati yang perlu ada dalam sesebuah keluarga. Keluarga yang kumiliki kini, alhamdulillah itulah keluarga yang kuidamkan sebelum berumahtangga dulu. Semoga Allah s.w.t. sentiasa memberkati dan permudahkan urusanku memelihara kebahagiaan keluargaku ini. Amin...

ALAMAK, DAH BESAR PANJANG ANAK TERUNAKU

ALAMAK, DAH BESAR PANJANG ANAK TERUNAKU
Sedar tidak sedar aku sudahpun ada tiga orang anak teruna. Yang sulung umurnya 18 tahun, yang kedua 16 tahun dan yang ketiga umurnya 14 tahun. Maka itu menandakan umurku juga semakin tua. Apa yang nak dikongsikan di sini ialah peranan aku sebagai seorang ibu yang mempunyai anak teruna yang bakal melangkah ke alam dewasa. Persoalannya bukan tiada masa untuk memantau tapi kadang-kala ada masanya kita seolah-olah tidak di benarkan bersama-sama berada dalam dunia mereka. Masa ini timbullah kerisauan di hati tentang keselamatan anak-anak kita itu. Pergaulannya, pilihannya, keputusan yang akan dibuat dan macam-macam lagi. Tahukah mereka buat pilihan? Betulkah pilihan yang mereka buat? Selamatkan masa depan mereka dengan keputusan yang dibuat...lagi dan lagi...... Jadi sampai bila kita nak memikirkan perkara ini? Mampukah kita mengawal semuanya daripada perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada perkara yang paling besar dalam hidup mereka, contohnya memilih pasangan hidup. Hai...boleh 'jammed' kepala kita dibuatnya. Padaku asas didikan masa kecil yang kita terapkan dan kepercayaan juga keyakinan yang kita tanamkam dalam diri mereka. Siapalah kita untuk mengawal segalanya. Yang penting keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t dalam semua yang kita lakukan untuk kebajikan keluarga kita. Terima seadanya...